Monday, November 4, 2013

Petua Rasulullah s.a.w menangani kepenatan.


Hari pertama bekerja semula, terasa kepenatan yang amat sangat.  Mungkin kepenatan lantaran aktiviti sejak hari Jumaat hingga Ahad yang tiada ruang rehat selain tidur malam.  Tidur malam juga pendek, kurang lima jam, bila badan terlalu letih ada masa sukar juga melelapkan mata. 

Ahad seharian pula dalam perjalanan .. menghantar anak balik asrama. pukul sembilan malam baru jejak rumah semula. Ohh..penatnya.


petua rasulullah s a w menangani kepenatan 1
Kalaulah dapat tidur lena selena bayi ini, tanpa memikirkan sebarang masalah ...ohhhhhhhh alangkah nikmatnya

Mari kita hayati petua Rasulullah s.a.w mengatasi kepenatan.

Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja,  petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya. Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti.

Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.

"Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."

Dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca 'Subhanallah' (33 kali), 'Alhamdulillah' (33 kali) dan 'Allahuakbar' (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan), Insya-Allah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.

Semoga hari-hari yang ceria akan sentiasa mengiringi kita dalam melalui kehidupan seharian.

petua rasulullah s a w menangani kepenatan 2

No comments:

Post a Comment